Biasanya mereka akan bercakap
dengan nada relaks dan adakalanya menyelitkan gurau senda supaya sidang media
tak menjemukan. Tetapi pada sidang media SPR pada Sabtu, wartawan melihat sisi
Wan Ahmad yang serius dan macam orang menahan bengang.
Rupa-rupanya orang nombor
dua SPR itu sudah hilang sabar dengan tohmahan dan fitnah melampau yang
bertalu-talu dilemparkan oleh pembangkang dan penyokong-penyokongnya terhadap
SPR.
“Pada 5 Mei lalu, melalui
Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13), 85.8% rakyat Malaysia telah buat keputusan dan
sesiapa tak berpuashati boleh menggunakan saluran undang-undang dengan
memfailkan petisyen ke mahkamah di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan
“Bila nak failkan
petisyen, kumpulkan segala bukti, dapatkan peguam terbaik dan berhujahlah.
Janganlah meraung sana sini, menghasut rakyat dan memfitnah badan yang
menguruskan pilihanraya.
“SPR sungguh kecewa dan
mengecam pemimpin yang sampai sekarang membuat rakyat keliru, mengheret
anak-anak muda ke stadium dan jalanraya dan melanggar undang-undang untuk
menghujahkan segala pembohongan,” katanya.
Kata-kata yang diluahkan
oleh Wan Ahmad membuat wartawan terpaku. Perasaan kecewa dan marah memang jelas
terpancar pada wajah orang nombor dua SPR itu.
Malah dia terus “sound”
pembangkang terang-terangan, terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit
Siang.
“Ada yang kecewa tak
dapat jadi Perdana Menteri. Ada yang kecewa tak boleh jadi Timbalan Perdana
Menteri. Ada juga yang kecewa tak boleh jadi Menteri Dalam Negeri. Pilihanraya
telah selesai dan rakyat telah buat keputusan. Yang kalah tetap kalah dan yang
menang tetap menang.
“Mereka tuduh pilihanraya
tak adil dan penuh dengan penyelewengan. Penasihat DAP menang di Gelang Patah,
Datuk Seri Anwar Ibrahim menang di Permatang Pauh, adakah itu hasil daripada
pilihanraya yang tidak adil?”
Wan Ahmad terus
membidas pemimpin pembangkang sebagai golongan yang tidak bertanggungjawab dan
perosak pemikiran generasi muda.
Saya sedih tengok anak-anak muda yang tak faham undang-undang, memakai
baju hitam, meletak bendera Malaysia terbalik kerana terpengaruh dengan fitnah
pembangkang,” katanya.
Wan Ahmad berkata, pada
Jumaat, beberapa pelajar universiti dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) telah
menyerahkan memorandum yang isi kandungannya sama dengan tuduhan-tuduhan yang
dilemparkan pembangkang.
“Katanya, SPR perlu
bertindak secara adil dan amanah. Wah! Nak adil dan amanah macam mana lagi?
Mereka dakwa pelbagai manipulasi serta penipuan telah berlaku. Manipulasi apa?
Penipuan apa? Yang 89 kerusi parti pembangkang menang itu manipulasi dan penipuan
ke?
“Mereka kata undi pos
meragukan? Mereka tak faham ke undi pos kita sudah tukar jadi undi awal? Memang
ada sedikit undi pos, tapi hanya bagi tentera yang bertugas di Lahad Datu,
polis yang bertugas pada hari mengundi awal dan tak dapat mengundi awal, serta
petugas SPR yang bertugas pada hari mengundi. Cara mereka menulis menunjukkan
mereka tak buat penyelidikan dan tak faham.
“Mereka kata ada pengundi
hantu? Kalau ada, sila bawa mereka ke mahkamah. Tunjuk nama dalam daftar
pemilih, siapa dia pengundi hantu. Mengenai warga asing mengundi, ia adalah
mustahil kerana aplikasi sistem kita akan menolak jika bukan warganegara cuba
mendaftar.
“Mereka kata 40,000 warga
Bangladesh dibawa untuk mengundi. Nama mereka tak ada dalam daftar pengundi.
Nak bawa mereka dengan kapalterbang atau kapal laut. Nak mendarat di
mana? Tan Sri Khalid Ibrahim menang di Pelabuhan Kelang sebab orang
Bangla mengundi di situ ke? Teresa Kok menang lebih 50,000 majoriti dan
bertahan di parlimen Seputeh sejak dulu sampai sekarang. Tak adil ke
pilihanraya?”
Ditanya sama ada SPR akan
mengenakan tindakan undang-undang terhadap pemimpin pembangkang, Wan Ahmad
berkata pihaknya sedang meneliti secara serius dan akan merujuk kepada
penasihat undang-undang.
“SPR bukan ahli politik.
Apabila berbuat sesuatu perkara, kita kena lihat implikasinya. Kita dilantik
oleh Yang DiPertuan Agong. Anwar hanya dilantik oleh rakyat di Permatang Pauh.
Kawasan dia sahaja yang memilih dia. Dia boleh cakap apa sahaja sebab dia tak
bertanggungjawab.
“Go to court, don’t
mislead the people. Keputusan pilihanraya akan diwartawakan sebelum hujung
bulan ini. Selepas diwartakan, dalam tempoh 21 hari selepas itu, Anwar Ibrahim,
Lim Kit Siang atau sesiapa yang tak puashati boleh fail petisyen.
“Anwar Ibrahim ini dah
tua, jangan rosakkan pemikiran generasi muda. Kalau sudah ditakdirkan Allah tak
jadi Perdana Menteri, redha dan terima ajalah. Rakyat dah buat keputusan. Kit
Siang pula kata tak boleh terima dan nak pilihanraya baru. Dia ini kubur kata
mari, rumah kata pergi.” – 11/5/13- OLEH NOORHASILAH ISMAIL. agendadaily
No comments:
Post a Comment