Saturday, May 11, 2013

Menuntut Jasa Kerajaan

Pemandangan seperti ini lumrah di Sabah saya kira hal yang sama di Sarawak juga. Setiap hari apalagi semasa Tamu mingguan akan banyak wanita-wanita terutama warga emas menjual hasil perolehan mereka samada melalui tanaman sendiri, pajak dari saudara mara atau jiran kampung atau mencari sendiri tumbuhan-tumbuhan yang juga merupakan makanan tradisi penduduk tempatan.
Sesekali melihat orang-orang tua berjualan di tepi laluan pejalan kaki atau berhimpit dan berpanas di kawasan tamu terbit rasa kasihan yang teramat. Begitu sukar mereka berusaha hanya untuk mencari sedikit wang menampung belanja keluarga sehari dua. Sayur-sayur dan buah-buahan tidak semestinya habis dibeli orang malah mungkn langsung tiada belian sepanjang hari juga selalu terjadi. Hanya kepenatan dan masa yang terbuang. Namun itulah lumrah berniaga.

Fenomena seperti ini bukan sesuatu yang aneh kepada orang-orang di Sabah khususnya. Saya mula melihat senario begini seawal usia 5 tahun lagi ketika mula dibesarkan di Tuaran. Pemandangan yang sama juga akan saya lihat di daerah asal saya Papar dulu bila balik ke kampung. Kini sekalipun mereka tidak lagi berjualan di kaki-kaki lima namun semasa Tamu sering pemandangan begini akan kelihatan juga terutama di daerah-daerah pedalaman lain. Sangat kasihan melihat mereka begitu di saat kita semua sudah ramai yang jauh hidup lebih bergaya. 

Saya cuma terpikir. Demi menepati konsep Rakyat didahulukan. Kerajaan wajar mengambil inisiatif melalui Kementerian tertentu untuk membeli semua hasil jualan penduduk kampung yang miskin secara tetap. Kerajaan mungkin boleh tubuhkan agensi baru atau memperkemas agensi atau unit-unit sedia ada untuk mendapatkan hasil-hasil penduduk kampung khususnya dari kalangan orang-orang miskin. Kerajaan boleh memasarkan semula hasil berkenaan ke kedai rakyat 1 Malaysia atau dijual secara borong di kawasan bandar. Saya yakin cara begini akan membantu menjadikan kehidupan rakyat miskin lebih baik dari sekadar BR1M kerana penduduk kampung yang miskin dapat dibantu berdikari. Tidaklah semestinya hanya menumpu kepada hasil tanaman saja. Kerajaan juga boleh membantu nelayan-nelayan atau pengusaha-pengusaha skala kecil untuk mendapatkan hasil produk mereka dan dijual semula. Ini lebih menjamin pendapatan mereka berbanding mereka sendiri terpaksa mencari pembelinya yang kadangkala balik dengan tangan kosong. Saya tidaklah bermaksud hendak memberi semua rakyat hidup goyang kaki tanpa usaha lebih. Saya bermaksud membeli apasaja bentuk hasil produk rakyat khususnya di negeri-negeri yang mempunyai penduduk yang terpinggir dari kemodenan dan daif kehidupan. Mereka boleh dibantu dengan membeli secara tetap produk jualan mereka. Inisiatif ini boleh diterangkumkan dalam transformasi seterusnya di bawah GTP melalui ETP meningkatkan taraf ekonomi pwnduduk miskin dan luar bandar.

Kadang-kadang sedih juga melihat mereka walaupun golongan ini tidak pernah mengeluh malah terus mesra melayan pelanggan. Moga penduduk-penduduk khususnya di Sabah dan Sarawak di mana pemandangan begini adalah lumrah akan lebih terbela kehidupannya apalagi dalam kita sedang bersiap menuju ke negara berpendapatan tinggi dan maju dalam banyak aspek masih ada pula sebahagian yang terus dihimpit kemiskinan. Memang benar kita tidak dapat membantu semua perkara sepenuhnya namun berbanding dengan memberi bantuan tunai begitu saja, bantuan beli hand phone dn beberapa lagi yang pada saya perbelanjaannya lebih wajar diguna untuk mewujudkan inisiatif belian terus produk rakyat. Kerajaan harus terus proaktif dan tangkas dalam menangani masalah rakyat dan terus mempelbagaikan inisiatif membantu rakyat miskin dengan pelbagai program yang lebih menjamin dan memajukan kehidupan.

Biarlah kita semua dapat bersama-sama menikmati kemakmuran negara secara lebih bijaksana dan benar-benar menepati konteks keterangkuman atau inclusiveness seperti yang termaktub dalam Model Ekonomi Baru Yang diumumkan oleh PM pd 2010 khususnya frasa yang menjelaskan 'Bantuan kepada rakyat tanpa mengira kaum namun kapasiti perniagaan bumiputera terus disokong' Dalam konteks ini bantuan sewajarnya tidak hanya melibatkan perniagaan-perniagaan berskala sederhana dan ke atas tetapi inisiatif meningkatkan taraf hidup dengan membeli hasil barangan rakyat miskin harus dijadikan satu dasar kekal. Ahzan Bin Bakrin

No comments:

Post a Comment