Cerita dari DOUBLE Y
Emel yang dihantar kepada saya sekitar September yang lalu :
1. Saya Sherifah Binti Salim dari Kuala Lumpur merupakan Usahawan Wanita
Bumiputra yang lahir daripada Program Pembangunan Francais, Jabatan
Perdana Menteri yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun
1993. Program ini kemudian diselia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan
sehinggalah Kementerian berkenaan dimansuhkan.
2. Berasal sebagai anak kepada ibu saya Hajah Fatimah Hassan yang merupakan
peniaga kecil di Pasar Minggu Kampung Baru pada tahun 1960an hingga
1980an, saya memulakan perniagaan pada April 1994 sebagai pemilik tunggal
Foto Point dalam bidang peruncitan kedai foto dan kamera dan kini sudah
18 tahun berniaga.
3. Melalui Program Pembangunan Francais berkenaan, pihak Kerajaan telah
membantu saya memperolehi kemudahan pembiayaan dan bimbingan
pengurusan perniagaan hingga saya mampu berdikari dan berjaya dalam
bidang yang mana penyertaan Bumiputra amat terhad dan mencabar.
4. Apabila Kompleks Membeli-Belah Suria KLCC dibuka pada tahun 1998
dalam suasana kegawatan ekonomi tersangat runcing ketika itu, saya
merupakan di antara segelintir penyewa pertama yang mengambil risiko besar
membuka perniagaan di Suria KLCC. Sampai sekarang saya sudah 14 tahun
berniaga di Kompleks tersebut.
5. Selama tempoh penyewaan, kadar sewa sentiasa dinaikkan iaitu sekitar 30%
setiap kali sewa diperbaharui. Malah untuk tempoh kontrak sewa 5 tahun
terakhir dari 2007 hingga 2012 kos sewa disyaratkan naik pada setiap
tahun. Sewa kedai saya sekarang ialah kira-kira RM22,500 sebulan untuk
ruang kira-kira 300 kaki persegi, berbanding RM7,500 sebulan pada 1998.
6. Walaupun dikena sewa begitu tinggi tanpa sebarang keistimewaan dari pihak
Suria KLCC, saya terus bertahan dan berdaya maju sambil membuktikan
bahawa Wanita Bumiputra juga mampu berjaya sepertimana peniaga lain
apabila diberi peluang berniaga di megamall yang gah seperti Suria KLCC.
Oleh itu, aduan saya bukan tertumpu kepada kadar sewa yang tinggi.
7. Aduan saya adalah mengenai tindakan Pengurusan Suria KLCC yang
kini enggan menyambung penyewaan saya yang akan tamat pada 30hb
September 2012. Mereka memberi alasan amat tidak munasabah iaitu
dengan sengaja memanipulasi fakta prestasi jualan saya bagi
menjustifikasi tindakan mereka, sedangkan mengikut rekod mereka
sendiri pencapaian saya selalunya adalah Terbaik atau Kedua Terbaik dari
5 kedai foto kamera, yang mana 4 kedai lain adalah milik bukan Bumiputra.
8. Dari 5 kedai foto/kamera di Suria KLCC, 3 dimiliki oleh Foto Flash Sdn Bhd
(bukan Bumiputra) dan 1 dimiliki oleh Fotokem Sdn Bhd (juga bukan
Bumiputra). Foto Flash juga mendapat keistimewaan membuka sebuah lagi
kedai tambahan iaitu Flash Gadgets bererti satu peniaga berbangsa Cina ini
boleh mendapat 4 ruang kedai di Suria KLCC tetapi saya yang satu-satunya
peniaga berbangsa Melayu hendak dihalau keluar.
9. Unsur diskriminasi kaum amat jelas bila banyak kedai-kedai milik bukan
9. Unsur diskriminasi kaum amat jelas bila banyak kedai-kedai milik bukan
Bumiputra dan Warga Asing diperbaharui sewa atau diberi ruang baru. Misalnya
baru-baru ini kedai Digi Store (bukan Bumiputra) berhadapan kedai saya telah
diberi ruang alternatif manakala ruang yang dikosongkan oleh Digi Store diberi pula kepada penyewa baru iaitu kedai Sweet Day (juga bukan Bumiputra).
10. Mereka menindas dan memperlekeh peniaga Bumiputra seperti saya dengan
memberitahu bahawa tiada ruang kosong alternatif untuk saya, jika ada pun
mereka berkata sudah tentu saya tidak mampu membayar sewa baru yang lebih
tinggi. Lebih hina lagi, saya mendapat tahu bahawa mereka menawarkan
ruang kedai saya sekarang kepada peniaga bukan Bumiputra yang sudah
pun ada kedai bersebelahan iaitu Celcom Blue Cube semata-mata untuk
membesarkan kedai dealer bukan Bumiputra ini.
11. Sebagaimana umum sedia maklum, bilangan peniaga Bumiputra di Suria
KLCC sangat sedikit dan pada masa ini dipercayai kurang dari 5% dengan
angka sebenar enggan didedahkan oleh pihak Pengurusan. Menurut satu
laporan oleh CEO Suria KLCC pada tahun 2011, terdapat lebih 80 peniaga Luar
Negara di Suria KLCC, tetapi beranikah dia sebut bilangan dan berapa peratus
peniaga Bumiputra?
12. Isu penyingkiran peniaga-peniaga Bumiputra di Suria KLCC telah berlanjutan
dan semakin buruk sejak tahun 2007 dengan saya sendiri hampir menjadi
mangsa ketika itu. Nasib yang menimpa Restoran Kelantan Delights dan
Levi's Dockers yang dihalau satu demi satu oleh Suria KLCC manakala
peniaga-peniaga bukan Bumiputra dan Luar Negara terus diberi keutamaan.
Juga kes Muslimah Zaida's Collection di Alamanda Putrajaya pada tahun
2010 membabitkan pihak Pengurusan yang sama.
13. Kini giliran saya Foto Point pula dijadikan mangsa secara licik. Pihak Suria
KLCC telah mengancam untuk mengenakan sewa “double rent” jika saya
tidak keluar dari premis pada hujung bulan ini. Jika ini berlaku, saya kena
membayar kira-kira RM45,000 sebulan yang akhirnya boleh bangkrapkan
saya dalam beberapa bulan sahaja.
14. Sebenarnya pada tahun 2007 lagi pihak Suria KLCC pada mulanya enggan
memperbaharui penyewaan saya tanpa memberi sebarang sebab. Namun,
susulan publisiti buruk akibat penamatan sewa terhadap peniaga-peniaga
Bumiputra iaitu Kelantan Delights dan Levi's Dockers hingga menjadi
isunasional, mereka seperti terdesak menukar keputusan dengan menyambung
sewa saya di waktu senja sambil meminta supaya tindakan awal mereka
tidak dihebohkan kepada umum dan kementerian.
15. Lalu sambungan penyewaan saya pada 2007 adalah dengan syarat ketat iaitu
kedai perlu diubahsuai sepenuhnya, sewa untuk tempoh 5 tahun dengan
kenaikan sewa setiap tahun. Segala terma dan syarat Surat Perjanjian
ditentukan sepenuhnya oleh Suria KLCC tanpa boleh dipertikai oleh saya walau
satu ayat pun. Saya dimestikan menerima semua syarat jika mahu menyewa.
16. Sepanjang tempoh penyewaan selama 14 tahun di Suria KLCC, saya sentiasa
menjelaskan sewa bulanan mengikut jadual dan tidak pernah tertunggak sewa
walaupun sekali. Saya menyertai pelbagai program pemasaran yang dianjurkan oleh
Suria KLCC serta melaksanakan pengurusan pelanggan dengan bagus dan berjaya.
Kesimpulannya, saya tiada masalah penyewaandengan pihak Pengurusan Suria KLCC
walaupun ada pegawai-pegawai mereka cuba menimbulkan isu.
17. Pada tahun 2010 berlaku kejadian pecah kedai yang mengakibatkan saya kerugian
kira-kira RM10 ribu. Walaupun laporan polis dan aduan dibuat, pihak Pengurusan
Suria KLCC telah sambil lewa lepas tanggungjawab, tidak pernah memberi maklum balas
proses siasatan dan tidak response kepada pertanyaan saya walaupun kes ini sangat
berat kepada kredibiliti Pengurusan. Oleh kerana ingin menjaga hubungan dengan
pihak Suria KLCC, saya terpaksa mengambil sikap berdiam diri.
18. Pada tahun 2009 terdapat 3 buah kedai foto/kamera di Suria KLCC dan saya
telah memohon untuk membuka sebuah Nikon Concept Shop serta
sebuah Camera Sub-Outlet tetapi ditolak oleh pihak Pengurusan atas alasan
tiada lagi peruntukan untuk kategori kedai kamera. Pada tahun 2010 sekali lagi
saya menghantar Cadangan dan Konsep untuk membuka Nikon Concept Shop
melalui sokongan pembekal saya namun sekali lagi permohonan saya disimpan
(KIV). Begitu juga dengan permohonan saya pada tahun 2011 terus diketepikan.
19. Sebaliknya pada tahun 2011 pihak Suria KLCC jelas prejudis dan pilih
kulit dengan memberi tambahan ruang sewa kepada dua (2) buah kedai
kamera baru yang kedua-duanya dipohon oleh peniaga bukan Bumiputra,
termasuklah Nikon Concept Shop yang cadangan awal dan asalnya sudah
dikemukakan oleh saya terlebih dahulu.
Saya tidak mempertikai keputusan pihak Nikon memberi kepada peniaga bukan
Bumiputra kerana itu hak Nikon.Yang dipertikaikan adalah tindakan pihak
Suria KLCC berbohong bahawa tiada peruntukan untuk tambahan kedai kamera,
tetapi sebaliknya memberi peluang kepada dua peniaga bukan Bumiputra. Pihak
Suria KLCC berunding terus dengan Nikon tanpa pengetahuan saya sehingga peluang
kepada usahawan Bumiputra diragut oleh peniaga bukan Bumiputra.
20. Oleh itu 3 buah kedai foto/kamera di Suria KLCC pada 2009-2010 telah
bertambah kepada 5 buah pada 2011-2012 dan 4 daripadanya adalah milik
bukan Bumiputra. Sudah tentu persaingan lebih hebat apabila ada tambahan
2 kedai yang menjual barangan fotografi dan kamera jenama yang sama dan
ini telah memberi kesan penurunan Sales Performance semua kedai kamera
pada 2011 berbanding 2010. Ini dijadikan alasan oleh Suria KLCC untuk
menyingkir saya, tetapi tidak kepada peniaga bukan Bumiputra.
21. Sungguhpun begitu, prestasi Sales Performance Ranking yang dikeluarkan oleh
pihak Suria KLCC mengikut kriteria jualan per kaki persegi (PSF) rasmi yang
mereka sendiri tetapkan, masih meletakkan prestasi jualan Foto Point saya
sering berada di kedudukan Terbaik dari 3 kedai pada 2009/2010 dan
Kedua Terbaik dari 5 kedai pada 2011/2012. Ini bermaksud dari tahun 2009
hingga 2012 prestasi Sales Performance Ranking Foto Point saya sangat
konsisten di kedudukan terbaik atau kedua terbaik di antara semua kedai
foto/kamera di Suria KLCC.
22. Malahan Sales Performance terkini saya iaitu 8 bulan pertama dari Januari
hingga Ogos 2012 telah menunjukkan peningkatan jualan sebanyak 12%
berbanding tempoh yang sama tahun 2011. Saya amat yakin ranking prestasi
jualan bulanan saya pada tahun ini masih kekal di kedudukan Terbaik atau
Kedua Terbaik sekiranya tiada manipulasi oleh pihak Suria KLCC. Sudah tentu
mereka tidak berani lagi mengeluarkan ranking terkini kepada saya.
23. Pada April 2012 iaitu 6 bulan sebelum tamat tempoh penyewaan sekarang, saya
telah menulis surat kepada pihak Suria KLCC untuk menyambung penyewaan.
Semasa perjumpaan dengan Pengurus Leasing Puan Tan Wei Lynn dan
Eksekutif Leasing Puan Debbie Ooi pada 07 Mei 2012, mereka memberitahu
bahawa sewa tidak akan disambung kerana Sale Performance saya turun
21% pada tahun berakhir 31 Mac 2011 berbanding tahun sebelumnya dan
mereka juga enggan mengambilkira kenaikan jualan saya pada tahun terkini.
24. Selain itu, mereka langsung tidak mahu mengambilkira rekod cemerlang
bayaran sewa saya, kedudukan ranking prestasi Pertama dan Kedua saya dan punca
mengapa jualan jatuh pada waktu itu (iaitu bertambah persaingan dari 3 kepada 5 kedai).
Mereka tidak menggunakan kriteria Sale Performance sebagaimana biasa digunakan,
dengan niat jahat dijadikan alasan untuk menghalau keluar saya. Mereka berdolak-dalih
apabila saya mempertikaikan asas kiraan prestasi yang tidak munasabah itu.
25. Pengurus Leasing Suria KLCC itu dengan bongkaknya menyatakan bahawa
keputusan ini (menyingkirkan peniaga Bumiputra) telah mendapat restu
Lembaga Pengarah Suria KLCC sendiri. Saya difahamkan Lembaga Pengarah mereka
diterajui oleh pihak atasan Petronas, maka saya sangsi jika pihak Lembaga Pengarah
mengetahui hal sebenarnya atau tidak prihatin.
26. Pengurusan Suria KLCC yang terdiri daripada Eksekutif Leasing Debbie Ooi,
Pengurus Leasing Tan Wei Lynn, Pengurus Besar Centre Management
Francis Tan, Pengurus Besar Leasing David Monaghan dan Ketua Pegawai
Eksekutif (CEO) Andrew Brien kesemuanya terdiri dari Bukan Bumiputra
atau Warga Asing. Saya amat mensyaki bahawa tindakan sebahagian mereka
bermotifkan prejudis jantina, diskriminasi kaum atau anti aspirasi Kerajaan
terutama membabitkan kepentingan Bumiputra. Malah unsur amalan rasuah
juga tidak boleh diketepikan.
27. Pihak Pengurusan Suria KLCC seterusnya mengancam untuk mengenakan
“double rent” terhadap saya berdasarkan klausa ‘tiada peruntukan untuk
sambung sewa selepas tamat tempoh 5 tahun’ jika saya enggan keluar.
Alasan ini sangat prejudis dan berniat tidak ikhlas kerana ditegaskan segala
syarat dan terma perjanjian adalah mutlak "100% determined by Suria KLCC".
Maka, untuk Suria KLCC berlindung pada ketiadaan klausa pembaharuan sewa
amat tidak beretika sama sekali walhal ramai peniaga bukan Bumiputra
dilepaskan klausa ini.
28. Saya masih ingat akan jaminan lisan sewaktu perbincangan sambung sewa
pada tahun 2007 yang diberikan oleh Eksekutif Leasing Suria KLCC, Puan Aida
Ithnin pada masa itu bahawa tiada sebab untuk pihaknya tidak menyambung
sewa selepas tamat tempoh 5 tahun itu sekiranya tiada apa-apa masalah
atau isu bersabit sewa saya. Bagaimanapun Puan Aida tidak lagi kendalikan
kes saya kerana telah ditukarkan ke Kompeks Membeli-Belah Alamanda
Putrajaya yang juga diurus oleh pihak Suria KLCC serta diterajui oleh isteri
kepada CEO Suria KLCC yang juga warganegara Australia.
29. Kini hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum berakhir tempoh sewa
sekarang. Jika kes ini masih gagal diselesaikan secara rundingan dan Pihak
Pengurusan Suria KLCC terus bersikap sombong, angkuh dan degil terhadap
bangsa kita, maka saya minta agar semua pihak-pihak berkenaan termasuk
kementerian-kementerian, agensi-agensi dan badan-badan berkaitan
mempercepatkan proses siasatan dan tindakan susulan demi keadilan
dan kesaksamaan layanan terhadap peniaga Wanita Melayu dan
Bumiputra khususnya.
Saya percaya majoriti rakyat di negara berbilang kaum ini terutama bangsa
Melayu sedang menanti untuk melihat dan menilai sejauh mana tindakan tegas,
pantas dan berkesan diambil oleh pihak-pihak berwajib dan berkepentingan.
Saya ingin ambil sikap yakin bahawa pasti bangkit keberanian muktamad
untuk menyelesaikan segera kes ini, menyekat dari berlarutan dan terus
merebak, menghakis gambaran negatif terhadap kepimpinan Kerajaan
dan memberi mesej dan pengajaran kepada elemen-elemen tidak
bertanggungjawab. Bertindaklah cepat, adil dan tegas sebelum terlambat.
30. Tujuan saya menyebarkan kes ini kepada pengetahuan umum agar nasib para
usahawan Wanita dan Bumiputra khususnya peniaga-peniaga peruncitan
di gedong-gedong membeli belah mega dan ikon kemegahan rakyat
seperti Suria KLCC tidak dibiarkan ditindas, diperlekeh dan dihalau keluar
sedemikian, rupa demi menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat berbilang
kaum di negara ini.
Apa erti kemerdekaan dan apa guna membina bangunan megah perkasa sedangkan nasib kaum bangsa sendiri diperkotak-katik dan diperlakukan sewenang-wenangnya terutama oleh Bangsa Asing.
Jangan biarkan bangsa kita Bagai Melukut Di Tepi Gantang dan bangsa lain Bagai Kaduk Naik Junjung. Jika ada yang menuduh bangsa kita rasis, nah inilah perbuatan rasis yang amat rasis terhadap bangsa kita.
sherry.salim@gmail.com
25 September 2012
No comments:
Post a Comment