Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang ketika bermain di kawasan rumahnya di Flet Seri Pahang, Bangsar, di sini, ditemui selamat di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati, Wangsa Maju di sini, petang semalam.
Kehilangan mangsa disedari ibunya kira-kira jam 7 petang, apabila anaknya tidak pulang selepas keluar bermain sejak tengah hari.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah, berkata ibu mangsa menghubungi suaminya yang sedang bekerja memaklumkan perkara itu dan mereka cuba mencari di sekitar kawasan rumah tetapi gagal.
“Ketika bapa mangsa sedang membuat laporan polis kehilangan anaknya di Balai Polis Travers, kami menerima laporan mangsa sudah ditemui di LRT Taman Melati.
“Mangsa dikatakan ditemui anggota polis bantuan di situ kira-kira jam 4 petang dan dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Katanya, kes dianggap selesai dan kanak-kanak itu sudah dituntut keluarganya, namun siasatan masih diteruskan bagi memastikan sama ada kehilangan kanak-kanak itu ada unsur jenayah atau sebaliknya.
Sementara itu, budak berkenaan mendakwa dia didatangi seorang lelaki memakai topeng bedah ketika sedang bermain dan mengajaknya menaiki LRT di Bangsar.
“Apabila sampai di satu stesen LRT (LRT Taman Melati) saya terus lari keluar dan minta tolong orang di situ.
“Polis kemudian bawa saya ke balai polis,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Wangsa Maju, semalam.
Menurut kanak-kanak itu, dia telah ditangkap oleh seorang lelaki yang memakai topeng ketika dia sedang bermain dengan kawan-kawannya di luar flat di Bangsar pada Ahad.
Dia telah dibawa menaiki LRT dan selepas beberapa perhentian, dia telah mengumpul keberanian dan berlari meluru keluar sebaik sahaja pintu dibuka ketika kereta api berhenti di stesen Taman Melati kira-kira pukul 4 petang.
Budak lelaki itu hanya berhenti berlari apabila melihat seorang pegawai polis bantuan.
“Saya mahu lari tetapi saya takut. Tetapi apabila saya melihat pintu terbuka dan dia sedang melihat tempat lain, saya hanya berlari keluar selaju yang mungkin,” katanya sambil menambah lelaki itu tidak mengejarnya.
Katanya, terdapat ramai orang di sekelilingnya tetapi dia tidak berani meminta bantuan kerana bimbang lelaki itu akan mengapa-apakannya.
Kanak-kanak itu kelihatan bersemangat tinggi dan berkata polis telah memberikan minuman dan mi untuk makan malam.
Mstar
No comments:
Post a Comment