Mohd Ishak Din , 55 sanggup dibelasah beramai-ramai oleh penjenayah yang memasuki rumahnya di Bagan Serai. Dia menyedari empat penyamun selepas dikejutkan oleh salah seorang penyamun. Walaupun diacukan pisau, dia sempat menjerit meminta tolong. Tapi dia tetap dibelasah dan menyerahkan wang tunai dan barangan lain seperti komputer riba dan telefon bimbit bagi mengelakkan anak perempuanya dirogol. Sinar
Cerita 2.
KUANTAN 19 Nov. - Hasrat seorang bapa untuk menyelamatkan dua anak perempuannya yang tergelincir dalam Sungai Ah Tong, Panching di sini berakhir dengan tragedi apabila dia terkorban akibat lemas.
Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu mangsa, Ahmad Ramzi Hassan, 40 (gambar), dari Taman Tas nekad terjun ke dalam sungai itu sebaik sahaja melihat anaknya Eka Syakira, 7 dan Eva Syamila, 11, terkapai-kapai meminta pertolongan.
Bagaimanapun nasib malang menimpa Ahmad Ramzi apabila dia lemas selepas berjaya menyelamatkan kedua-dua anaknya itu.
Adik mangsa, Ahmad Borhan Hassan, 35, yang berada di tempat kejadian berkata, mereka ke sungai itu kerana abangnya yang merupakan peniaga pasir perlu menyelesaikan urusan kerja di situ.
"Sebelum kejadian itu saya berada di sebuah pondok tidak jauh dari tebing sambil memerhatikan dua anak saudara saya mandi di kawasan cetek manakala abang sedang menyiapkan urusan kerjanya tidak jauh dari situ.
"Tiba-tiba saya dengar jeritan anak saudara yang sudah dihanyutkan ke tengah sungai," katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Ahmad Borhan, dia dan abangnya segera terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan dua kanak-kanak berkenaan namun dia terpaksa berpatah balik kerana tidak berdaya menarik mereka manakala abangnya terus berusaha.
"Saya berpatah balik ke darat untuk mengambil perahu dan berjaya menarik kedua-dua anak saudara ke dalam perahu. Eka ketika itu sudah tidak sedar serta kebiruan lalu diberikan bantuan pernafasan.
"Sebaik sahaja saya menoleh ke belakang untuk menarik abang, dia sudah hilang dari pandangan malah usaha mencarinya sekitar kawasan itu juga gagal," katanya yang kemudian meminta bantuan pasukan penyelamat.