Terbukti kakitangan MAS Professional dan terbaik.
Dugaan demi dugaan melanda syarikat penerbangan MAS. Belum selesai dengan tragedi MH370, kali ini membabitkan MH192 pula. Mujurlah ia dapat ditangani dengan sebaiknya oleh kru pesawat berkenaan dan selamat mendarat cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam pada itu, penumpang MH192 menceritakan detik kejadian berlaku dan membuatkan mereka cemas seketika. Seorang penumpang warga India, Pritesh Jain, 30, berkata perasaan bimbang dan cemas mula menyelubungi dirinya dan beberapa penumpang lain sebaik juruterbang memaklumkan pesawat itu terpaksa berpatah balik selepas berlepas ke Bangalore pada jam 10.09 malam.
“Memang saya sangat takut selepas diberitahu tentang masalah teknikal yang dihadapi pesawat yang saya naiki, namun juruterbang dan kru penerbangan bertindak sebaik mungkin untuk menenangkan kami serta menerangkan cara dan langkah yang harus diambil untuk mendaratkan pesawat dengan selamat. Keyakinan saya dan beberapa penumpang lain semakin bertambah apabila juruterbang memberitahu bahawa dia terpaksa menghabiskan sebahagian besar minyak pesawat itu dengan melakukan beberapa pusingan sebelum mendarat,” katanya.
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri Ramanan Ganesan, 42, dan Kavita Ravendran, 41, yang dalam perjalanan pulang ke India, selepas seminggu melancong ke Malaysia, kejadian yang dilaluinya ini tidak mematahkan sebarang perancangan untuk kembali bercuti semula ke negara ini dengan menaiki pesawat MAS.
“Dengan apa yang baru berlaku ke atas saya, isteri dan anak saya berusia 14 tahun, serta ditambah dengan insiden kehilangan pesawat MH370, saya tidak menyalahkan MAS dalam semua situasi ini.”
Rata-rata penumpang memuji dan kagum dengan langkah keselamatan yang dilakukan oleh kru pesawat berkenaan yang terpaksa berpatah balik ke KLIA. Mereka memastikan semua 159 penumpang tidak cemas dan takut selain mengikuti segala arahan keselamatan bagi memudahkan pesawat itu mendarat dengan selamat.
Sementara itu, seorang penumpang berasal dari Pulau Pinang yang hanya mahu dikenali sebagai Raymond, berkata kru kapal yang bertugas berjaya menenangkan penumpang dan mengendalikan situasi itu dengan profesional. Katanya, biarpun ada sesetengah penumpang dilihat panik dengan keadaan itu namun juruterbang dan kru kapal berjaya mengawal keadaan.
“Kejadian ini adalah satu situasi yang tidak diingini oleh sesiapa pun, namun juruterbang menjalankan tugasnya dengan amat baik. Jika saya dapat berjumpa dengan juruterbang itu saya ingin berterima kasih kepadanya kerana beliau berjaya menyelamatkan 159 nyawa penumpang dan kru kapal dalam pesawat MH192,” katanya. sumber
No comments:
Post a Comment