Sembilan pelajar sekolah dipanggil polis bagi direkodkan keterangan berhubung sebuah video pendek memaparkan tingkah laku mereka di kawasan tanah perkuburan Cina di sini.
Video berdurasi 1 minit 32 saat itu, tersebar dalam Youtube memaparkan pelajar terbabit termasuk ada antaranya beruniform sekolah, menari dengan iringan muzik rancak serta bermain bola sepak di kawasan perkuburan itu sehingga menimbul rasa kurang senang masyarakat.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, tujuh daripada mereka merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini, sementara dua lagi telah dibuang sekolah sebelum kejadian, atas faktor disiplin.
Menurutnya, kesemua mereka berusia antara 12 dan 14 tahun.
“Siasatan polis mendapati, kumpulan pelajar ini berbuat demikian tanpa niat untuk menghina ataupun cuba menggugat sentimen perkauman dan agama. Kelakuan yang dilakukan sekadar untuk bersukaria, bagaimanapun mereka berada di lokasi salah tanpa mengetahui kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut.
Menurutnya, perbuatan kumpulan pelajar itu dilakukan Khamis lalu, sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari.
“Rakaman video itu dirakam menggunakan telefon bimbit salah seorang daripada pelajar terbabit. Polis juga percaya antara mereka juga yang telah memuat naik rakaman tersebut ke internet," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.
Abd Wahab berkata, berikutan penyebaran video tersebut, satu laporan polis telah dibuat ahli jawatankuasa tanah perkuburan tersebut, Jumaat lalu.
"Dalam masa terdekat polis akan memanggil pelajar, ibu bapa mereka dan juga ahli jawatankuasa tanah perkuburan itu untuk menjernihkan kembali keadaan.
“Kejadian yang berlaku ini merupakan kes terpencil dan jangan jadikan ia sebagai punca untuk kita saling berbalah sesama kaum,” katanya percaya kes ini akan diselesaikan dengan baik.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 298 A (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
“Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun,” katanya.
Abd Wahab menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video tersebut melalui apa juga medium komunikasi dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.-SH
No comments:
Post a Comment